Polis buru pemandu lori samseng

Cermin kereta mangsa yang didakwa telah dipecahkan suspek di laluan kecemasan Lebuhraya Linkedua menuju Singapura di sini kelmarin.
Cermin kereta mangsa yang didakwa telah dipecahkan suspek di laluan kecemasan Lebuhraya Linkedua menuju Singapura di sini kelmarin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis memburu seorang pemandu lori kerana disyaki terbabit dalam satu kejadian khianat dan samun di laluan kecemasan Lebuhraya Linkedua menuju Singapura di sini kelmarin.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki berusia 39 tahun yang mendakwa kenderaannya telah dirosakkan oleh lelaki berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis BMW 530i berada di laluan kecemasan telah dilanggar lori yang dipandu suspek.

“Suspek kemudian turun dari lori dan bertemu mangsa sebelum berlaku perselisihan faham. Berdasarkan keterangan mangsa, dia bertanya apa punca suspek bertindak sedemikian dan suspek hanya menjawab kerana mangsa telah memasuki jalannya.

“Mangsa kemudiannya bertanya lagi jika dia bersalah mengapa suspek tidak membunyikan hon sebagai tanda amaran.

"Selepas itu mangsa mengajak suspek membuat laporan polis namun secara tiba-tiba suspek mengambil satu objek tidak pasti dan terus memecahkan cermin penumpang belakang dan memukul pintu kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, suspek juga bertindak mengambil telefon bimbit jenis Samsung Note 10 milik mangsa kerana mengetahui tindakannya sedang dirakam mangsa.

"Suspek juga cuba memukul mangsa sebelum dia berlalu pergi dengan menaiki lori dipandunya dan memasuki Singapura," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427, Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.