Cuai, tak berhemat punca Melayu muflis

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM – Cuai dan tidak berhemat dalam pengurusan kewangan antara faktor kaum Melayu mencatatkan kes bankrap atau muflis tertinggi antara tempoh 2015 hingga 2019.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sikap suka berbelanja dan berhutang secara tidak terkawal menyebabkan mereka terjebak dengan masalah wang yang kronik.

“Melayu muflis kerana pelbagai sebab walaupun ada yang di luar jangka dan di luar kawalan, akan tetapi jika disiplin berbelanja dan berhutang tidak dikawal, maka pasti gejala muflis tidak dapat dielakkan.

“Sikap berbelanja dalam kalangan bangsa Melayu perlu diubah. Berlumba dan berbelanja mewah ketika perayaan, menonjol model kereta terkini, suka terikut dengan trend dan jenama adalah antara sebab kenapa kes bankrap tinggi dalam kalangan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengenai kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi antara tempoh tersebut.

Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, Melayu mencatat sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan 80,625 kes bankrap, iaitu sebanyak 45,147 kes.

Menurut Mohd Azmi, kes muflis boleh menjejaskan produktiviti kerja, kestabilan keluarga selain terlibat dalam jenayah.

“Jika orang Melayu dalam lingkungan umur produktif terperangkap dalam kes muflis, ia menandakan bangsa ini sangat sukar dipulih.

Artikel Berkaitan:

“Maruah Melayu juga menuntut kepada kejujuran orang Melayu terhadap kelemahan diri sendiri. Tidak ada yang boleh mengembalikan maruah Melayu melainkan oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lebih 80,000 rakyat Malaysia bankrap