Ahli Parlimen Bukit Gantang sah jadi ahli PKR

Syed Abu Hussin ketika mengadakan sidang media mengumumkan keluar UMNO pada 27 Jun 2018 lalu.
Syed Abu Hussin ketika mengadakan sidang media mengumumkan keluar UMNO pada 27 Jun 2018 lalu.
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sah menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengalu-alukan bekas wakil rakyat UMNO itu ke dalam PKR memberitahu bahawa keahlian wakil rakyat berkenaan baharu sahaja dipersetujui kepimpinan parti itu.

Menurutnya, permohonan keahlian Syed Abu Hussin telah dihantar sebelum ini untuk dipertimbangkan Biro Politik PKR.

"Biro Politik PKR Pusat telah menerima permohonan beliau sebelum ini, namun harus melalui proses penelitian dan keahliannya baru sahaja dipersetujui pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat hari ini.

"Dengan pengalaman yang dimiliki beliau, saya yakin ini dapat membantu kerajaan Pakatan Harapan dan memanfaatkan Majlis Pimpinan Negeri Perak," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Farhash Wafa berkata, dengan kemasukan Syed Abu Hussin itu, PKR kini memiliki 51 Ahli Parlimen.

Beliau dalam pada itu menggesa pimpinan parti merapatkan saf sebagai persediaan sebelum Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.

Pada 27 Jun tahun lalu, Syed Abu Hussin mengumumkan tindakan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu menjelaskan, keputusan keluar parti itu dibuat selepas kecewa dengan proses pemilihan sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Pada PRU14, Syed Abu Hussin mengalahkan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad serta calon Pakatan Harapan, Khadri Khalid dengan majoriti 4,089 undi.