Kerajaan, jangan ghairah berbelanja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal positif dalam beberapa tahun mendatang, kerajaan dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah berbelanja atau meneruskan model pertumbuhan ekonomi seperti dulu.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kecenderungan kerajaan terdahulu menjana ekonomi dengan projek mega berasaskan pembiayaan hutang harus dielakkan.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan menjana pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama ekuiti untuk beberapa tahun akan datang.

“Kalau boleh untuk tiga tahun akan datang, jika kerajaan berhasrat menjadikan ekonomi negara dalam keadaan positif, ia perlu melalui kerjasama ekuiti, bukannya pembiayaan hutang.

“Kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani hutang negara dan jika ada pertumbuhan positif, kerajaan perlu ambil peluang untuk mereformasikan sistem monetari di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, sistem monetari di Malaysia masih belum mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengurangkan harga rumah mahupun menurunkan kadar pengangguran.

“Kalau kerajaan kata ekonomi semakin baik, itu semua makro (skala besar) tapi rakyat biasa tidak nampak apa yang positif daripadanya.

“Yang jelas pada mereka adalah harga barang masih tinggi, gaji tidak naik, nak dapatkan kerja pun susah. Semua ini berlaku disebabkan sistem monetari sekarang yang masih ada kepincangan.

Artikel Berkaitan:

“Ini sebenarnya dua isu besar yang kerajaan perlu beri tumpuan. Pertama, kurangkan beban hutang negara dengan banyakkan pembiayaan ekuiti dan kedua, mereformasikan sistem monetari dalam negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan Malaysia memerlukan tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskalnya dan muncul sebagai ekonomi pesat membangun yang mempunyai harapan paling cerah

Menurutnya, meskipun PH baru sahaja mentadbir negara namun kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencipta beberapa kejayaan.

Tambah beliau, tahun 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk Malaysia jika rakyat kekal bersama untuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.