Amalan rasuah pihak berkuasa boloskan sempadan Malaysia-Thailand: SPRM

Klip video aktiviti penyeludupan yang ditayangkan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang media di sini hari ini.
Klip video aktiviti penyeludupan yang ditayangkan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kegiatan rasuah yang berleluasa di sepanjang sempadan Malaysia Thailand dipercayai dilakukan oleh pihak berkuasa.

SPRM turut menayangkan beberapa klip video yang menunjukkan bagaimana penyeludupan berlaku dan penguat kuasa yang bertugas hanya berdiam diri seolah-olah tiada perkara berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan.

Ketua Cawangan Audio dan Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni berkata, modus operandi pihak terbabit adalah penyeludup berjumpa dengan pegawai penguat kuasa yang bertugas untuk mendapatkan kebenaran menyeludup keluar barangan ke Thailand.

"Sebaik mendapat kebenaran kenderaan yang membawa barangan seludup akan tiba sebelum 'tentera semut' menuju ke pagar untuk memulakan aktiviti pemunggahan," katanya.

Menurutnya, antara barangan yang disyaki diseludup keluar ialah barang runcit seperti minyak masak, bawang dan tepung.

Badri
Badri

"Selain itu mereka juga dipercayai menyeludup barangan subsidi seperti petrol, diesel dan baja," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan daun ketum turut diseludup.

Artikel Berkaitan:

"Jika di sini (Malaysia) daun ketum dijual pada harga RM18 setiap kilogram (kg) tetapi di Thailand harga pasaran menjangkau RM100 per kg," katanya.

Penguat kuasa beri laluan untuk aktiviti penyeludupan

Pada sidang media tersebut, Badri turut menyiarkan rakaman video kenderaan peronda penguat kuasa hanya melalui kawasan penyeludupan tetapi berhenti seketika dipercayai untuk memberi laluan kepada aktiviti itu.

"Kenderaan peronda tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan perbuatan salah itu berlaku di depan mata mereka," katanya.

Menurutnya, aktiviti penyeludupan bukan setakat berlaku di laluan tikus malah turut berlaku di kawasan pakir Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis.

"Anda boleh lihat dengan jelas kenderaan bernombor pendaftaran asing dipakai di sini dan mengangkut barangan dalam bentuk bungkusan kecil.

"Di kawasan ini terdapat pegawai penguat kuasa yang sedang berdiri hanya memerhati keadaan sekeliling manakala di dalam pondok pengawal terdapat seorang lagi penguat kuasa bermain telefon," katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki.

Sementara itu Latheefa berkata, rakaman tersebut menunjukkan kesan keseriusan rasuah terhadap negara.

"Rasuah memberi kesan terhadap keselamatan dan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, SPRM telah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, Imigresen dan Kastam bagi menyiasat punca kebolosan sempadan.

"Kita telah menyerahkan bukti-bukti kepada mereka sebentar tadi untuk mereka menyiasat dan mengenal pasti pegawai yang terbabit.

Azam dan Latheefa pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Azam dan Latheefa pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

"Apabila siasatan selesai, kami akan memulakan proses pendakwaan," katanya.

Tambahnya, perkara ini adalah salah satu faktor penguatkuasa memerlukan kamera badan ketika menjalankan tugas.

"Kami tidak akan benarkan lagi perkara sebegini berlaku di masa hadapan," katanya.