Warta lebih banyak kawasan taman laut

Tza Tzin (dua dari kiri) ketika meninjau lokasi melabuhkan tukun bersama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Abd Mohd Nawi (kiri) dari atas tongkang di Pulau Lima.
Tza Tzin (dua dari kiri) ketika meninjau lokasi melabuhkan tukun bersama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Abd Mohd Nawi (kiri) dari atas tongkang di Pulau Lima.
A
A
A

MERSING - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu semua kerajaan negeri bekerjasama untuk mewujudkan lebih banyak kawasan taman laut di perairan masing-masing.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, usaha itu membantu Jabatan Perikanan menangani isu penyusutan stok ikan negara.

"Kita menyeru kerajaan negeri wujudkan lebih banyak taman laut di tempat masing-masing kerana masih berdepan isu kerajaan negeri yang belum bersedia mewartakan lebih banyak taman laut.

"Kita mahu menjemput menteri besar melawat taman laut di negeri mereka supaya tahu bahawa taman laut itu penting. Jabatan Perikanan akan memberi penerangan mengenai kepentingan taman laut untuk menjaga sumber," katanya kepada pemberita pada Program pelancaran Tukun Rekreasi dan Tukun Udang Kara Bersama Komuniti Perikanan di Mersing kelmarin.

Tukun tiruan rekreasi dilabuhkan ke dasar laut Pulau Lima, kelmarin.
Tukun tiruan rekreasi dilabuhkan ke dasar laut Pulau Lima, kelmarin.

Katanya, jabatan berkenaan melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kelestarian hidupan marin terjaga termasuk melabuhkan tukun dan mewartakan Pulau Lima.

"Perkara itu masih dalam proses dan kita harap boleh wartakan Pulau Lima secepat mungkin sebagai Taman Laut Malaysia setidaknya pada tahun 2020. Ini sejajar dengan hasrat Jabatan Perikanan untuk mencapai 1,000 kilometer persegi kawasan taman laut yang diwartakan menjelang tahun 2025.

"Setakat ini ada 42 taman laut seluruh Malaysia yang telah diwartakan dan kita perlu lebih banyak lagi kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jabatan Perikanan melabuhkan 34 tukun rekreasi dan tukun udang kara di Pulau Lima yang menelan belanja RM500,000.

"Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk Tanjung Leman dan Sedili dan tukun ini akan menjadi habitat baharu serta sumber protein.

"Tukun ini boleh dijadikan tempat memancing oleh penduduk dan dianggarkan dalam tempoh setahun akan menjadi habitat pelbagai hidupan marin selain mencegah pencerobohan pukat tunda," katanya.

Pada lawatan kerja sama, Tze Tzin turut melawat komuniti Pulau Sibu, Pulau Besar dan Pulau Tinggi serta pusat penetasan penyu di Batu-Baty Resort, Pulau Tengah.

Merakam kenangan sebelum melancarkan tukun-tukun di Pulau Lima, kelmarin.
Merakam kenangan sebelum melancarkan tukun-tukun di Pulau Lima, kelmarin.