Sungai Gadut dilanda banjir kilat

Kawasan persekitaran parkir di KTM Sungai Gadut yang dilanda banjir kilat. -Foto Ihsan bomba
Kawasan persekitaran parkir di KTM Sungai Gadut yang dilanda banjir kilat. -Foto Ihsan bomba
A
A
A

SEREMBAN - Hujan lebat yang berpanjangan sejak lewat petang tadi menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan persekitaran Sungai Gadut dan Perindustrian Senawang di sini malam ini.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan gangguan lalu lintas terutama di kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Gadut yang dinaiki air separas pinggang.

Kejadian itu juga menyebabkan kenderaan yang diparkir di kawasan KTM Sungai Gadut turut ditenggelami banjir.

Menurut Ketua Bahagian Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Kapten (PA) Abdul Ba'ith Abdul Rahim, paras air sungai naik mendadak akibat hujan lebat sejak petang tadi sehingga kini.

Katanya, paras air naik sehingga 1.5 meter di kawasan tersebut berpunca daripada limpahan air dari Sungai Gadut ke tebing daratan sungai selain aliran air longkang yang tidak dapat dialirkan keluar ke sungai dengan lancar.

"Banjir kilat ini turut berlaku di Jalan Sungai Gadut dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Senawang.

“Bagaimanapun ia tidak melibatkan kawasan perumahan dan mangsa," katanya.

Sehingga jam 9.30 malam ini, paras air beransur surut tetapi agak perlahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan seorang lelaki terperangkap dalam sebuah kereta pada jam 6.24 petang dan tiba ke lokasi 11 minit kemudian.

Katanya, lelaki warga Indonesia itu terperangkap dalam sebuah kereta akibat banjir di kawasan Perindustrian Senawang.

"Lelaki itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.