Graduan biadab: UM ada hak tarik balik atau tahan ijazah- MPN

Dr Raduan Che Rose - Foto Bernama
Dr Raduan Che Rose - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Universiti Malaya (UM) mempunyai hak untuk menarik balik atau menahan penganugerahan ijazah seorang graduan yang bertindak biadab ketika istiadat konvokesyen di universiti itu pada Isnin lalu.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, setiap Senat mempunyai kuasa untuk meluluskan penganugerahan kepada penuntutnya berdasarkan peruntukan peraturan yang ditetapkan universiti masing-masing.

"Tindakan graduan terbabit juga disifatkan amat tidak wajar dan mencemarkan acara rasmi universiti awam itu.

"Setiap orang ada hak masing-masing. Pihak pelajar merasa mereka ada hak untuk melakukan dan pihak universiti pun ada hak mereka.

"Soal penganugerahan atau penurunan ijazah ini adalah hak Senat universiti itu. Selagi belum sampai dianugerahkan (beri ijazah) secara mutlak, selagi itulah pihak universiti boleh mengaturkan tindakan berdasarkan kepada apa-apa perkara yang dilakukan pelajar itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MPN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial bagi menuntut UM menarik balik ijazah pertama graduan terbabit.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas dan tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya ijazah sarjana muda milik graduan itu ditarik balik.

Mengulas lanjut Raduan menegaskan, walaupun masyarakat Malaysia diberi hak kebebasan bersuara dan menzahirkan perasaan, namun mereka masih perlu patuh dengan undang-undang yang telah diperuntukkan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dalam majlis rasmi, kita tertakluk dengan protokol, hidup ini dikawal oleh adat dan peraturan yang bertulis dan tak bertulis," katanya.

Pada Isnin lalu, dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, seorang graduan berusia 23 tahun membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya.

Ia dipercayai ditujukan kepada naib canselor universiti itu yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu baru baru ini.

Bagaimanapun, tindakannya itu dilihat melanggar protokol istiadat selain mengganggu prosiding konvokesyen universiti awam berkenaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Graduan biadab: UM buat laporan polis