Bimbang rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan

Prof Datuk Dr Denison Jayasooria
Prof Datuk Dr Denison Jayasooria
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian bantuan yang terlalu banyak menerusi Belanjawan 2020 hanya akan mewujudkan satu budaya rakyat menjadi terlalu bergantung kepada kerajaan.

Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, secara keseluruhannya Belanjawan 2020 dilihat sangat baik namun pemberian bantuan yang terlalu banyak itu dibimbangi akan memberi impak sebaliknya.

"Saya tidak nampak bagaimana bajet kali ini boleh membina atau membesarkan pekerjaan baharu untuk ramai yang tiada pekerjaan dan bagaimana bantuan itu boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

"Terlalu banyak beri sana, beri sini. Adakah ini bajet politik atau bajet yang melihat secara keseluruhan," katanya.

Menurutnya, beliau melihat ia sebagai satu kelemahan yang besar iaitu dari segi membesar-besarkan bantuan yang diberikan.

"Betul rakyat mahu bantuan dan jika kerajaan beri mereka pasti akan terima.

"Tapi jika kerajaan membela supaya mereka dapat gaji minimum tinggi, pekerjaan lebih baik termasuk kemahiran, rakyat tidak akan berharap lagi pada bantuan diberi," katanya.

Dalam pada itu, Denison berharap kerajaan juga dapat mengadakan lebih banyak dialog atau perbincangan serius dengan pihak industri berhubung keengganan mereka untuk mengambil golongan belia tempatan bekerja.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, perkara itu amat penting kerana bilangan 500,000 belia yang dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan bukan isu biasa tetapi ia ibarat krisis negara.

"Banyak perkara perlu diteliti kenapa kadar tersebut sangat besar, apakah belia ini tidak mempunyai latihan sesuai untuk pekerjaan, maka kelemahannya kepada diri sendiri atau majikan yang tak mahu ambil bekerja.

"Selain itu jika pihak industri tidak mengurangkan tenaga buruh asing di sektor mereka, kadar pengangguran belia negara akan terus meningkat," katanya.