Pemilik bengkel maki imigresen

Anggota penguat kuasa sedang melakukan pemeriksaan di sebuah bengkel membuat bot di Jeti Merang, Setiu. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen Terengganu
A
A

SETIU - Bengang 'rahsianya' menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah terbongkar, seorang pemilik bengkel membuat bot bertindak memaki hamun penguat kuasa yang menyerbu bengkelnya di Jeti Merang di sini hari ini.

Lelaki berusia 50-an itu melemparkan kata-kata kesat kepada penguat kuasa bertugas Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu dalam operasi kira-kira jam 9 pagi sebagai protes dan tidak puas hati kerana bengkelnya diserbu.

Kemarahan lelaki itu semakin memuncak apabila empat pekerja warga asing digajinya ditahan untuk tindakan lanjut selepas didapati gagal mengemukakan sebarang permit kerja yang sah.

Ketua Bahagian Penguatkuasaannya, Ahmad Salihin Salleh berkata, selain bengkel terbabit, empat tapak pembinaan termasuk di Besut, Kuala Nerus dan sekitar Jeti Merang di sini turut diserbu.

"Seramai 196 warga asing diperiksa dan 32 daripadanya ditahan dalam Operasi Bersepadu Sapu/Jaja kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen

"Mereka yang ditahan termasuk lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, lapan lelaki warga Bangladesh, 14 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Kemboja," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebahagian pekerja warga asing ditahan dalam Op Sapu/Jaja semalam. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen Terengganu
Sebahagian pekerja warga asing ditahan dalam Op Sapu/Jaja semalam. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen Terengganu

Ahmad Salihin berkata, siasatan awal mendapati kesemua ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

"Selain itu, tiga majikan dikeluarkan borang 29 (saman saksi) untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, operasi mengambil masa lebih sembilan jam yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu melibatkan seramai 23 anggota penguat kuasa.