MPKj keluar notis henti kerja kepada pemaju tanah

MPKj mengeluarkan notis henti kerja kepada pemaju terlibat yang menjalankan kerja-kerja tanah di lokasi berkenaan.
MPKj mengeluarkan notis henti kerja kepada pemaju terlibat yang menjalankan kerja-kerja tanah di lokasi berkenaan.
A
A
A

KAJANG - Sebuah projek pembangunan berhampiran Taman Wawasan telah dikenakan Notis Berhenti Kerja pada 10 Oktober lalu berikutan melakukan kerja tanah tanpa sebarang kelulusan dan permit daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Edry Faizal Eddy Yusof berkata, selain itu, MPKj turut mengeluarkan notis kompaun mengikut Akta Jalan Parit 1974 Seksyen 70A (1) terhadap pihak berkenaan selepas dipercayai mengakibatkan kelodak tanah di dalam sistem perparitan dan jalan di sini.

Beliau berkata, pemaju terlibat diarahkan untuk menghentikan kerja-kerja di tapak berkenaan serta-merta sehingga mendapat kelulusan pelan infrastruktur daripada MPKj.

"Pihak terlibat telah dikenakan denda sebanyak RM25,000 berikutan menjalankan kerja tanah tanpa permit dan lesen.

"Malah MPKj turut mengarahkan pemaju berkenaan membina 'slit trap' bagi menahan kelodak daripada memasuki sistem perparitan,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Selain kawasan berkenaan, Edry berkata, terdapat beberapa lokasi lain yang dipercayai menjalankan kerja-kerja pembangunan tanah tanpa mendapat permit dan lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, antara kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Gahal, Bukit Raya dan Lubuk Manggis.

"Disebabkan itu, saya akan meminta kerajaan Selangor untuk mengenakan tindakan lebih tegas kepada pemaju-pemaju tidak bertanggungjawab ini kerana ada di antara mereka yang terus lepas tangan apabila tindakan dan kompaun dikenakan oleh PBT.

Artikel Berkaitan:

"Jika tindakan keras ini dikuatkuasakan ia dapat menjadi pengajaran kepada pemaju lain untuk mematuhi peraturan ditetapkan,"katanya.

Tambah beliau, penduduk setempat juga diharapkan agar dapat bekerjasama bagi menyalurkan maklumat kepada MPKj sekiranya ternampak sebarang kerja-kerja pemajuan tanah yang diragui.