UMNO tak pernah bincang tubuh kerajaan tanpa Amanah, DAP: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak pernah membincangkan penubuhan kerajaan baharu melibatkan beberapa parti dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi mengecualikan Amanah dan DAP.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga tidak pernah menyuarakan cadangan tersebut secara peribadi kepadanya.

"Saya tidak tahu. Kita pun tak tahu. Tidak pernah (Hishammuddin maklumkan). Apa yang berkaitan dengan keputusan besar parti seperti ini mesti diputuskan oleh parti.

"Jadi tidak Ada perbincangan di peringkat Majlis Tertinggi pun tidak ada. Jadi ini tidak ada isu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong didakwa dalang menggerakkan kewujudan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Semai benih perpaduan Malaysia

Ia disuarakan berdasarkan penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang kelihatan cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik.

Hishammuddin telah menepis dakwaan tersebut yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, beliau menganggap PH cuba menjadikan parti pembangkang sebagai kambing hitam terhadap krisis dalaman yang dihadapi gabungan tersebut.

Hishammuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong itu dilaporkan mencadangkan supaya UMNO dan Pas menyertai PH tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan menyifatkan cadangan Hishammuddin itu akan dapat menghidupkan kembali budaya politik dan pentadbiran negara berasaskan kaum.

Majlis itu menegaskan mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui secara bersama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Kabinet.