Warga Thailand maut, ayam berterabur atas jalan

Ayam hidup bertaburan dalam nahas membabitkan lori dan sebuah kereta hingga mengorbankan seorang lelaki warga Thailand malam tadi.
Ayam hidup bertaburan dalam nahas membabitkan lori dan sebuah kereta hingga mengorbankan seorang lelaki warga Thailand malam tadi.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki warga Thailand maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan senegara dan seorang remaja tempatan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang membawa muatan ayam hidup di Kilometer 78 Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kuala Kangsar malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Stasu Cheyor, 26, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta jenis Proton Gen 2, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Kejadian turut menyebabkan pemandu kereta warga Thailand berusia 37 tahun mengalami retak buku lali dan lebam di muka sementara lelaki tempatan berusia 18 tahun yang duduk di penumpang hadapan, calar di bahagian siku.

Sementara dua lagi penumpang belakang masing-masing warga Thailand berusia 26 dan 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima lelaki itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, sebuah lori yang datang dari arah Kuala kangsar menuju Gerik tidak sempat mengelak menyebabkan rempuhan berlaku pada bahagian sisi kanan lori.

"Akibat rempuhan itu, lori dipandu lelaki berusia 55 tahun itu hilang kawalan dan melintang di kiri laluan manakala kereta pula terbabas di bahu kiri jalan.

"Seorang daripada penumpang kereta terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, pemandu lori dan kelindannya berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Katanya, polis telah pun merakam percakapan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk dan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom," katanya.