Demam Piala Malaysia kembali melanda penyokong Lang Merah

Stadium Darul Aman sekali lagi bakal dipenuhi penyokong Hijau Kuning bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Kedah menentang Pahang. - Foto FB FA Kedah
Stadium Darul Aman sekali lagi bakal dipenuhi penyokong Hijau Kuning bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Kedah menentang Pahang. - Foto FB FA Kedah
A
A
A

DEMAM Piala Malaysia semakin menyelubungi penyokong Kedah apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan sebanyak 6,000 keping tiket bagi saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman 19 Oktober ini terjual melalui dalam talian.

Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin menjangkakan sambutan hangat penonton pada hari penjualan tiket di pekarangan stadium pada 18 Oktober ini dengan jangkaan tiket perlawanan Kedah dengan Pahang akan habis dijual.

"KFA dijangka memperuntukkan kuota 1,000 keping tiket untuk penyokong pelawat dan sebagai balasan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bersetuju menyerahkan jumlah sama kepada penyokong Kedah ketika bertandang ke Stadium Darul Makmur pada 26 Oktober ini.

“Jawatankuasa Tiket dan Pintu KFA buat keputusan akan menjual tiket perlawanan di pekarangan stadium pada Jumaat, ini, iaitu satu hari awal pada perlawanan sebenar," katanya pada mesyuarat koordinasi Malaysian Football League (MFL) bersama pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2019 di ibu pejabat MFL di sini.

Menurutnya, sekiranya jualan tidak habis, baki tiket akan dijual pada hari perlawanan dan maksimum tiket kami akan jual kepada penyokong Kedah ialah 22 ribu,iaitu kapasiti maksimum di Darul Aman, tidak termasuk penyokong lawan.

“Untuk jualan dalam talian, kami mendapat sambutan yang menggalakkan dan terima kasih kepada Shopee yang membantu dengan tiket di tempat duduk terbuka sudah habis dijual selain sedikit sahaja lagi baki yang tinggal untuk di bahagian astaka lama.

“Penyokong Pahang kami peruntukan 1,000 keping tiket maksimum berdasarkan perbincangan dan di separuh akhir kedua, kami juga bakal mendapat jumlah sama, ” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menagih sokongan daripada seluruh penyokong Merah Kuning agar bersama-sama turun ke Stadium Shah Alam pada 26 Oktober depan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Artikel Berkaitan:

“Kami amat mengalu-alukan sokongan daripada rakyat Selangor kerana pertemuan dengan JDT ini ibarat final malah keempat-empat pasukan yang layak ini berada dalam kalangan empat terbaik Liga Super.

“Itu menggambarkan betapa sengitnya perlawanan yang kami akan hadapi berdepan JDT malah ramai yang meramalkan ia sukar buat Selangor dan kami tetap akan ambil positif kerana berpeluang menentang pasukan hebat di Liga Malaysia.

“Justeru, kami mengharap sokongan daripada semua penyokong untuk sama-sama menghangatkan suasana di stadium nanti dalam usaha Selangor menidakkan ramalan ke atas pasukan pilihan,” katanya.

Selangor terlebih dahulu akan bertandang ke Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu ini pada separuh akhir pertama Piala Malaysia.