Geng Ah Ho aktif curi kenderaan lumpuh

Risikin (dua dari kanan) menunjukkan peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah curi kenderaan.
Risikin (dua dari kanan) menunjukkan peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah curi kenderaan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kegiatan Geng Ah Ho yang aktif mencuri kenderaan sejak Mac lalu akhirnya lumpuh dengan penangkapan lima suspek dalam operasi khas dua hari berturut-turut sejak kelmarin di sekitar Bentong, Pahang dan Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, operasi bermula jam 9 malam di Bentong berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Menurutnya, hasil soal siasat, pada keesokannya kira-kira jam 1 petang membawa serbuan di sebuah hotel di Kajang dan berjaya menangkap dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

"Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, polis berjaya menemui tujuh buah kenderaan pelbagai jenis yang dilapor hilang sebelum ini iaitu Honda Civic, Perodua Myvi, Proton Wira, Honda Accord, Proton Saga, Honda CRV dan Proton Satria.

"Turut dirampas adalah buku cek, kad 'touch n go', 'smart tag' dan komputer riba," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Antara peralatan yang dipercayai diguna suspek untuk kegiatan mencuri kenderaan.
Antara peralatan yang dipercayai diguna suspek untuk kegiatan mencuri kenderaan.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, kumpulan terbabit mengaku terlibat mencuri kenderaan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor.

Katanya, polis percaya kenderaan terbabit akan dijual dengan harga lebih rendah kepada pembeli dalam kalangan rakan-rakan dan rangkaian suspek.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi ahli geng terbabit yang masih bebas.

"Selain itu, semakan juga mendapati dua suspek masing-masing memiliki 27 dan 19 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Malah, kesemua suspek juga dikesan positif dadah," katanya.

Tiga suspek direman empat hari, manakala dua lagi direman tiga hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membeli kenderaan yang tidak sah bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.