Ahli DHPP terlibat LTTE: Pas serah kepada polis siasat

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan seorang ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) ditahan polis kerana disyaki menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas berpendirian bahawa parti itu tiada berkompromi dalam isu keselamatan negara dan mereka yang didapati bersalah harus didakwa berlandaskan undang-undang.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Mereka yang didapati bersalah pada saya, pendakwaan haruslah dibuat.

“Kita tak halang siasatan. Kita terbuka dan akan beri kerjasama kepada pihak keselamatan. Ini bukanlah politik tetapi isu keselamatan negara,” katanya selepas hadir ke Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) 2019 di Permai Hotel hari ini.

Ahmad Samsuri bagaimanapun berkata, beliau belum mendapat pengesahan sama ada benar atau tidak individu ditahan polis itu adalah ahli DHPP sebagaimana didakwa.

Ditanya sama ada Pas akan membuat tapisan lebih ketat selepas ini, beliau menjelaskan bahawa setiap keahlian DHPP perlu mendapat sokongan daripada dewan tersebut sebelum ia dibawa ke mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat untuk diluluskan.

“Maklumat lebih daripada itu kita tidak ada. Apa pun, kita akan meneliti dari masa ke semasa. Jika kita dapat maklumat ada yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat, sudah tentu kita akan ambil tindakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ahli Pas adalah salah seorang daripada 12 suspek yang ditahan berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE minggu lepas.

Bagaimanapun Ketua DHPP, N Balasubramaniam dalam satu kenyataan berkata, semakan dibuat mendapati individu dimaksudkan itu ada memohon untuk menyertai DHPP beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PUR14) dan telah menghantar surat keluar parti selepas PRU14 pada 21 Mei 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Perdana Menteri puas hati tindakan polis

Apa itu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)?