'Kebocoran 46.2 juta data peribadi pengguna insiden serius'

FAHMI
FAHMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian kebocoran data peribadi milik 46.2 juta pengguna perkhidmatan telekomunikasi di negara ini adalah amat membimbangkan dan memerlukan penjelasan pihak terbabit.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menyatakan kebimbangan itu berpendapat insiden itu serius kerana ia bukanlah satu jumlah yang kecil.

“Sebanyak 46.2 juta set data bocor, ia lebih daripada jumlah semua rakyat Malaysia, ia sangat serius, rakyat Malaysia mengharapkan suatu penjelasan berhubung kebocoran data peribadi mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas jawapan bertulis Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kepada soalannya semalam berhubung bagaimana Nuemera (M) Sdn Bhd, yang dilantik kerajaan untuk melaksanakan sistem Sekatan Perkhidmatan Selular Awam (PCBS), gagal menjamin keselamatan data peribadi milik 46.2 juta pengguna perkhidmatan telekomunikasi, sehingga maklumat itu bocor.

Ahmad Fahmi berkata, bagaimanapun, tindakan terburu-buru tidak boleh diambil buat masa ini kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Jawapan semalam saya rasa baru memberikan bayangan tapi belum lagi secara keseluruhan.

“Saya rasa kita kena tunggu keputusan jabatan Peguam Negara sebab difahamkan kertas siasatan telah diberi kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Semalam KKMM dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Fahmi berkata, kerajaan telah menamatkan kontrak dengan Nuemera (M) Sdn Bhd, dan siasatan jenayah berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: