10 tahun jadi nelayan tapi tiada lesen

Sebahagian nelayan yang tidak mempunyai lesen.
Sebahagian nelayan yang tidak mempunyai lesen.
A
A
A

KUALA PERLIS - Meskipun kebanyakan nelayan di Perlis tidak mempunyai lesen menangkap ikan, mereka terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri.

Setiap hari mereka terpaksa melanggar peraturan semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kata mereka, bukan di jeti Kurung Tengar sahaja bahkan hampir separuh dari nelayan di negeri itu tidak mempunyai lesen sah.

Ibarat curi-curi turun ke laut, mereka sentiasa dalam keadaan takut kerana bimbang terserempak pihak berkuasa.

Nelayan, Ramlan Yusof 47, berkata, dia terpaksa membuat demikian kerana itu sahaja sumber rezeki yang boleh diperoleh.

Ramlan menunjukkan surat permohonan lesen yang pernah dimohon.
Ramlan menunjukkan surat permohonan lesen yang pernah dimohon.

"Nak tunggu dapat lesen macam mana kami nak teruskan hidup seharian untuk menanggung keluarga.

"Tapi kita minta tak ada berlaku apa apa la di sana sebab niat kita nak mencari rezeki," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Tengar hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ramlan, beliau pernah memohon lesen menangkap ikan dan menghadiri temuduga pada 28 September 2013.

"Sekarang dah 2019. Tiada maklum balas telefon pun tidak, surat pun tidak ada sedangkan saya mengikut semua syarat dan turut mendaftar sebagai ahli persatuan nelayan," katanya.

Alias Harun 57, berkata, walaupun dapat mencari rezeki tanpa lesen tetapi perasaan risau tetap ada.

Alias Harun
Alias Harun

"Kadang takut kena tangkap, lagi pun sekarang ni kerajaan dah keluarkan peraturan yang ada lesen sahaja akan ada insurans sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Bayangkan jika sesuatu yang tidak baik berlaku pada kami yang tidak mempunyai insurans.

"Kami sangat berharap agar pihak yang berkenaan dapat mempertimbangkan semula permohonan kami mendapatkan lesen yang sah," katanya.

Hampir 200 nelayan di jeti Kurung Tengar tidak berlesen biarpun jeti itu sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Azam Karap berkata, pihaknya banyak menerima rungutan sama dari nelayan setempat.

Nor Azam
Nor Azam

Bagaimanapun katanya, pengeluaran lesen kini dibekukan meliputi kawasan Zon A, B dan C kecuali Zon C-2 iaitu laut dalam.

"Pembekuan ini bertujuan bagi memastikan setiap permohonan lesen baharu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Tambahan pula jumlah ikan dalam laut telah berkurangan jadi kita nak jaga populasi ikan tu jadi kita bekukan sementara lesen," katanya.

Begitu pun Azam meminta kerjasama golongan nelayan agar bersabar sehingga dimaklumkan kelak dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.