SOSMA perlu atas faktor keselamatan: PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga dari kanan) pada Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDC) 2019 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (empat dari kanan). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah perlu atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pihak polis terpaksa menggunakan akta terbabit kerana keadaan adalah berbeza.

“Kita bukan nak tangkap orang ikut suka, sewenang-wenangnya. Saya sudah dapatkan penjelasan daripada polis berhubung tindakan yang mereka ambil.

“Kalau P Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang) tak puas hati, tidak apalah, dia kata tak puas hati tetapi hakikatnya benda ini berlaku dan ada sebab ia berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) 2019 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu yang mendakwa penggunaan akta seperti SOSMA membabitkan penahanan individu berkaitan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) tidak selari dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 individu tidak sepatutnya ditahan bawah SOSMA: Ramasamy

Pemimpin DAP itu sebelum ini mendakwa tujuh individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan LTTE tidak sepatutnya ditahan di bawah SOSMA.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu berkata, tujuh individu itu sepatutnya dibawa ke mahkamah dan didakwa di atas apa-apa jenayah yang mungkin dilakukan mereka bukannya penahanan tanpa perbicaraan.

"SOSMA membenarkan orang yang ditangkap ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan bagi tujuan penyiasatan," beliau dipetik sebagai berkata.

SOSMA tak perlu mansuh, tapi diperbaiki elak salah guna: Mat Sabu