SOSMA tak perlu mansuh, tapi diperbaiki elak salah guna: Mat Sabu


MOHAMAD SABU
MOHAMAD SABU
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya perlu diperbaiki dan dikemas kini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya berpandangan satu pindaan akta itu perlu dibuat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, perkara ini disebabkan SOSMA boleh disalahgunakan sebagaimana peristiwa penangkapan aktivis politik, Maria Chin Abdullah sewaktu menyertai Himpunan Bersih pada 2016.

"Ya, SOSMA tidak perlu dimansuhkan, pada pandangan saya ia perlu diperbaiki dari semasa ke semasa sebab SOSMA boleh disalahgunakan.

"Sekarang usaha pindaan masih dalam peringkat perbincangan. Saya tak jamin bila ia akan dibentangkan, tapi perkara itu sedang di peringkat kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas desakan beberapa pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy menuntut SOSMA dimansuhkan secepat mungkin kerana kaedah perlaksanaan tidak munasabah.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah) turut menyuarakan keyakinan polis akan lebih berhati-hati dalam mengendalikan kes tangkapan individu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak minggu lepas.

Menurutnya, kerajaan menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan terhadap perkara itu, namun berharap ia dijalankan mengikut peraturan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana didakwa mempunyai kaitan dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.

Dua ADUN itu antara 12 individu didakwa terlibat dengan LTTE, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.

Sejumlah 32 negara termasuk AS, India, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.