'Gubal undang-undang vape perlu pelaksanaan tegas'

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Penggubalan undang-undang khusus bagi menangani isu penggunaan vape di kalangan individu berusia bawah 18 tahun merupakan pendekatan yang sangat baik tetapi penumpuan harus diberikan terhadap pelaksanaannya.

Pengarah Perubatan Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Dr Zarihah Mohd Zain berkata, beliau menyokong inisiatif oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menggubal akta baharu itu dan berharap ia dikotakan secepat mungkin.

Beliau berkata, isu vape bukan perkara baharu tetapi sudah lama, malah pendekatan kerajaan untuk menanganinya juga bukan tidak ada sebelum ini tetapi amat longgar.

"Syabas kepada kerajaan kerana menunjukkan kesungguhan mereka, tapi kali ini saya mahu mereka tegas serta tunjuk bukti nyata dan bukan sekadar memberitahu akan melaksanakannya.

"Jika boleh, saya berharap NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga diberi peluang terlibat sama untuk melihat apa isi kandungan undang-undang yang digubal termasuk memberi pandangan serta input kepada keberkesanan pelaksanaannya," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dr Zarihah
Dr Zarihah

Dr Zarihah berkata, pada masa yang sama, pihaknya juga masih berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk mengharamkan terus vape walaupun tahu ia amat sukar untuk dilakukan kerana penggunaannya sudah meluas di negara ini.

"Tapi jika ia tidak boleh dilakukan (haramkan), kita harap kerajaan dapat mewujudkan undang-undang yang sangat ketat di mana penggunaan vape ini hanya untuk orang yang hendak berhenti merokok dan bukan oleh kanak-kanak, remaja, golongan muda termasuk orang tua yang bukan perokok.

"Vape ini perlu dikawal seperti kerajaan mengawal ubat untuk orang berhenti merokok dan pelaksanaannya perlu dibuat dengan tegas.

"Kerajaan tidak harus terpengaruh dgn desakan pihak berkepentingan dalam industri vape supaya mereka turut dijemput berunding dlm hal-hal kawalan vape khususnya penggubalan undang-undang kerana objektif mereka bercanggah dengan usaha KKM," katanya.

Dr Zarihah berkata, jika sudah ada undang-undang yang baik tapi pelaksanaannya lemah, ia tetap tidak akan memberi kesan.

"Sebab itu saya mahu melihat akta yang digubal kerajaan dan hanya akan percaya sehingga ia benar-benar dilaksanakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan vape libat pelajar sekolah membimbangkan