X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin Catalan dipenjara 13 tahun

Oriol Junqueras
A
A

MADRID - Mahkamah Agung di Madrid menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap pemimpin Catalan yang cuba memisahkan kerajaan itu dari Sepanyol dua tahun lalu.

Menurut kenyataan mahkamah, bekas naib Presiden Catalan, Oriol Junqueras menerima hukuman paling berat manakala lapan lagi aktivis dipenjara antara sembilan hingga 12 tahun kerana turut serta dalam referendum menyalahi undang-undang yang mencetuskan kekecohan selama sebulan dan menggemparkan negara pada 2017.

Mahkamah memutuskan bahawa Junqueras bersalah kerana menghasut dan menyalahgunakan dana awam bagi menganjurkan undi haram dan protes yang berakhir dengan Parlimen Catalonia mengisytiharkan merdeka meskipun badan kehakiman negara itu menyifatkan pungutan suara tidak sah.

Sementara itu, Carles Puigdemont yang mengetuai pergerakan tersebut kekal dalam pengasingan di Brussels selepas melarikan diri dari Madrid dua tahun lalu.

Sabitan itu bagaimanapun dilihat bakal menyuntik kemarahan tambahan terhadap sistem politik Sepanyol memandangkan negara itu kini sedang bersiap sedia untuk pilihan raya keempatnya yang dijangka diadakan pada 10 November depan.

Walaupun memenangi undi terakhir pada April lalu, pemangku Perdana Menteri, Pedro Sanchez gagal menyatukan majoriti kerana terpaksa menguruskan masalah yang ditinggalkan semasa krisis Catalan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!