RM9 juta persediaan musim tengkujuh

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM9 juta melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tujuan melaksanakan persediaan berdepan musim tengkujuh tahun ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, ia melibatkan peruntukan bagi persiapan awal mengurangkan risiko banjir di Kelantan.

"Antaranya ialah dengan menyelenggara sungai, alur dan saliran seperti mencuci, membaik pulih tebing yang runtuh. Selain itu, membaik pulih jambatan dan pembetung dan kuala-kuala di setiap jajahan.

"Turut dilaksanakan juga Program Sistem Amaran Awal Banjir (PRAB) dengan membangunkan sistem yang berupaya meramal keadaan banjir.

"Ia membantu meningkatkan sistem hebahan monsun iaitu dua hari lebih awal kepada agensi dan penting untuk rakyat yang terlibat dengan banjir," katanya semasa berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan lisan Mohd Nazlan Mohamed (Pas-Limbongan) mengenai persiapan yang telah dan akan diambil kerajaan negeri dalam menghadapi musim tengkujuh dan banjir di negeri ini.

Menurutnya, melalui PRAB Fasa 1, sebanyak 26 pemantauan iaitu Stesen Telemetri dan Stesen Hujan dibina sepanjang Sungai Kelantan dan Sungai Golok, manakala 53 stesen pemantauan sedia ada telah dinaik taraf dengan kos keseluruhan Fasa 1 ialah RM29 juta dan dijangka siap akhir Oktober tahun ini.

Beliau berkata, JPS juga akan melaksanakan Fasa 2 melibatkan 19 stesen pemantau di lembangan Sungai Semerak Pasir Puteh bermula tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk persiapan lain, kerajaan akan memastikan semua masjid seluruh negeri adakan solat hajat dan persiapan lain dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat yang khusus untuk memastikan bantuan banjir diserahkan kepada mangsa banjir.

"Antara persediaan, melantik 5,454 orang sukarelawan sebagai penyelia dan ahli jawatankuasa di semua pusat pemindahan banjir di seluruh Kelantan," katanya.