LTTE: Ahli Parlimen BN sokong bentang kertas putih

Ahmad Zahid bercakap pada media di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahmad Zahid bercakap pada media di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO bersedia menyokong pembentangan kertas putih mengenai isu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia oleh kerajaan susulan penangkapan beberapa individu disyaki terlibat dengan kumpulan itu.

Antara ditahan termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu G Saminathan dan P Gunasekaran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu akan disokong parti berkenaan dan BN walaupun perbincangan rasmi bersama Pas belum diadakan.

Menurutnya, tujuan pembentangan kertas putih itu bagi memberi penjelasan kepada rakyat terutama mereka yang bersimpati terhadap kewujudan LTTE.

"Walaupun ada ahli Parlimen menyatakan rasa simpati terhadap perjuangan LTTE bukan menzahirkan sokongan (kepada mereka), kita harus lihat dari aspek keselamatan.

"Apa pun aspek simpati termasuk penyaluran dana (kepada LTTE) harus dianggap memberi sokongan kepada pengganas," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas gesaan Pas terhadap kerajaan supaya membentangkan kertas putih mengenai LTTE di Malaysia semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, Pas memandang serius insiden penangkapan beberapa individu berprofil tinggi disyaki terlibat dengan aktiviti menyokong fahaman pelampau LTTE di Malaysia seperti diumumkan polis.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Ramasamy mahu semua tahanan dibicara ke mahkamah terbuka