KKMM laksana Projek Demonstrasi 5G untuk tempoh enam bulan

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melaksanakan Projek Demonstrasi 5G Malaysia untuk tempoh enam bulan sebagai persediaan sebelum teknologi generasi kelima itu dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, projek yang bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan itu akan diuruskan oleh lapan buah syarikat.

Menurutnya, antara syarikat yang terlibat terdiri daripada Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, edotco Malaysia Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan Petroliam Nasional Bhd.

"Lapan buah syarikat terbabit akan membangunkan 55 kes penggunaan 5G di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kes-kes penggunaan 5G ini meliputi sembilan vertikal iaitu bandar pintar, hiburan, pendidikan, penjagaan kesihatan digital, minyak dan gas, pembuatan dan industri pemprosesan, pengangkutan pintar, pertanian dan pelancongan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Teh Kok Lim (PH- Taiping) berkenaan rancangan kerajaan khususnya KKMM dalam kesediaan pelaksanaan teknologi jalur 5G.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Gobind berkata, Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang telah ditubuhkan November tahun lalu kini dalam fasa akhir melengkapkan laporan sebelum diserahkan kepada kerajaan di dalam suku keempat tahun ini.

Katanya, pasukan petugas khas itu terdiri daripada empat kumpulan kerja iaitu perniagaan, infrastruktur, pengurusan dan peruntukan spektrum dan kawal selia.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan-kumpulan kerja ini terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta telah ditugaskan untuk mengkaji strategi pelaksanaan 5G yang holistik dengan analisis daripada perspektif yang memfokus kepada cadangan penyelesaian kekangan undang-undang, perlindungan pengguna dan sebagainya," katanya.