Penduduk Terengganu diminta waspada ribut Tropika Pabuk

Amaran ribut Tropika Pabuk yang dikeluarkan JMM
Amaran ribut Tropika Pabuk yang dikeluarkan JMM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka mengalami hujan lebat sehingga esok (3 Januari) ekoran ribut Tropika Pabuk yang kini berada di perairan Laut China Selatan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam satu kenyataan berkata, ribut Tropika Pabuk kini berada di kedudukan 5.8°U 108.6°T dan dijangka bergerak 15 kilometer sejam ke arah barat.

Keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Jarak ribut ini dari Bandar Kuala Terengganu adalah 612 kilometer dan Kota Bharu pula adalah 697 kilometer,” kata kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, angin kencang yang dijangka melebihi 40 kilometer sejam boleh mengakibatkan kerosakan kepada struktur binaan yang tidak kukuh dan risiko pokok tumbang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti di luar rumah.

“Bagi mereka yang mempunyai bangunan berstruktur tidak kukuh, kita harap mereka boleh ambil langkah sewajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: