Hajat cepat kaya terkubur, operator kilang rugi RM40,000

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Hajat seorang operator kilang ingin hidup dalam kemewahan berkubur selepas ditipu sindiket pelaburan skim cepat kaya yang ditawarkan dalam Facebook awal September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 37 tahun itu mengalami kerugian sebanyak RM40,000 setelah tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial itu.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia tertarik dengan tawaran itu kerana menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendakwa menghubungi nombor yang tertera dalam iklan tersebut untuk mengetahui maklumat lanjut melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa juga dipercayai menghubungi nombor tersebut dan bercakap dengan seorang lelaki yang mendakwa ejen syarikat yang menawarkan pelaburan skim cepat kaya.

"Mangsa diberitahu bahawa skim itu membolehkannya mendapat untung dengan cepat yang mana, syarikat itu telah membantu ramai pelanggannya dalam mengatasi masalah kewangan.

"Pada mulanya, mangsa bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM5,000 sahaja tetapi setelah termakan dengan kata-kata lelaki tersebut, mangsa telah menambah nilai pelaburan sehingga RM40,000. Dia bersetuju kerana kononnya akan mendapat pulangan sehingga RM100,000 pada hari yang sama selepas wang dimasukkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Noorzainy berkata, mangsa membuat sembilan transaksi bermula dari 18 hingga 26 September lalu ke dalam akaun tempatan yang merupakan akaun akauntan syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun telah memindahkan wang sebanyak sembilan kali namun mangsa masih diminta untuk membuat tambahan bayaran lagi. Dia yang mengesyaki sesuatu tidak bersetuju untuk menuruti permintaan ejen syarikat tersebut.

"Mangsa juga berasa tertipu apabila ejen tersebut memberi pelbagai alasan apabila dia bertanyakan hal pulangan pelaburan," katanya.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.