Peruntukan RM15 juta untuk AADK disambut baik

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis sosial, Lee Lam Thye hari ini memuji langkah kerajaan memperuntukkan RM15 juta kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melaksanakan program pembasmian gejala dadah rintis bersama badan bukan kerajaan serta komuniti tempatan di bawah Belanjawan 2020.

Beliau berkata, peruntukan itu akan membantu dalam memperbaiki lagi keberkesanan program-program pemulihan dadah.

“Bagaimanapun adalah perlu untuk menangani masalah dadah yang serius dengan lebih efektif menerusi dasar baharu berkaitan dadah yang akan diputuskan oleh satu suruhanjaya, ditubuhkan khusus bagi mengkaji keseluruhan masalah berkaitan penyalahgunaan dadah dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini tidak ada peruntukan khusus buat pembangunan kesihatan mental seperti pusat-pusat pemulihan komuniti diumumkan walaupun Kementerian Kesihatan diberikan peruntukan RM30.6 bilion di bawah Belanjawan 2020.

“Pihak kementerian perlu diberikan peruntukan yang lebih besar khusus bagi membina pusat-pusat pemulihan bagi membantu menangani pelbagai masalah mental yang diakibatkan oleh penagihan dadah sintetik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan Kementerian Kesihatan supaya menyediakan peruntukan untuk memberikan latihan asas pertolongan cemas kesihatan mental kepada guru, majikan dan ibu bapa selain badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan sakit mental. - Bernama

Artikel Berkaitan: