Belon helium meletup: Rawatan mangsa diutamakan

Nie Ching melepaskan para peserta larian pada Program Kecergasan Peringkat Kebangsaan Sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya hari ini. FOTO: BERNAMA
Nie Ching melepaskan para peserta larian pada Program Kecergasan Peringkat Kebangsaan Sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan mendapatkan laporan berhubung insiden belon helium meletup selepas program kecergasannya di Dataran Putrajaya hari ini namun keutamaannya ketika ini ialah rawatan terhadap mangsa yang terlibat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan telah mendapatkan keterangan daripada beberapa individu berhubung insiden itu di mana 16 orang termasuk murid dan guru melecur apabila belon helium itu meletup.

Belon helium yang merupakan 'prop' pada program kecergasan Kementerian Pendidikan itu meletup dalam insiden kira-kira 11.30 pagi dipercayai akibat cubaan memotong tali pengikat belon itu bagi melepaskannya menggunakan pemetik api.

Nie Ching merasmikan program kecergasan itu sempena Bulan Sukan Negara 2019 kira-kira 7.30 pagi serta menyertai aktivitinya yang berjalan lancar. Program itu berakhir pada 11 pagi.

“Ada yang enggan bercakap kerana emosi masih tidak stabil. Kita akan cari sebabnya tapi itu bukan keutamaan ketika ini.

“Apa yang penting sekarang ialah mereka (mangsa) mendapatkan rawatan yang betul dan yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Hospital Putrajaya, Nur Iffariena Mohd Zarudin berkata, sehingga jam 5 petang, enam mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sudah dimasukkan ke wad manakala 10 lagi dibenarkan pulang.

Menurutnya, polis juga telah mengambil keterangan kepada mangsa sebelum mereka dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementeriannya akan mendapatkan laporan penuh daripada penganjur berhubung insiden itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, pihak kementerian berusaha memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat dalam insiden itu dan beliau mengharapkan yang terbaik untuk mereka.

"Saya sedih mendengar insiden tersebut yang berlaku selepas tamat program Bulan Sukan Negara itu," katanya selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Kepimpinan Wanita dalam Sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. - Bernama