Korea Selatan larang 'kaki dera' kahwini wanita asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan akan menggubal undang-undang melarang lelaki yang mempunyai sejarah keganasan rumah tangga daripada berkahwin dengan wanita asing.

Menurut Kementerian Kehakiman, perubahan itu dibuat susulan bantahan besar-besaran tentang sebuah video yang tular Julai lalu menunjukkan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun menyerang isterinya warga Vietnam secara fizikal dan lisan di hadapan anak mereka.

Sesiapa yang didakwa kerana jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam tempoh 10 tahun lalu atau menerima hukuman penjara dalam tempoh sama turut tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

Pindaan baharu kepada undang-undang imigresen akan berkuatkuasa pada Oktober tahun depan.

Dalam rakaman serangan di barat daya daerah Yeongam pada Julai lalu, suspek dilihat menampar, menendang dan menumbuk isterinya berulang kali di bahagian kepala di hadapan anak mereka berusia dua tahun.

Susulan kejadian itu, mangsa melarikan diri ke tempat perlindungan wanita bersama anaknya dan dirawat kerana patah tulang rusuk.

Ketika disoal siasat, suami wanita itu mengaku sedang mabuk dan menyerang isterinya kerana tidak fasih berbahasa Korea.

Kira-kira 6,000 wanita Vietnam berkahwin dengan lelaki Korea Selatan setiap tahun sekali gus mengatasi China sebagai negara yang menghantar jumlah pengantin asing terbesar ke Seoul. - Agensi

Artikel Berkaitan: