X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP kenal pasti lima juta lagi penerima subsidi M40

Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang daripada 150 penerima sempena Deepavali pada program hari ini.
A
A

KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengenal pasti kira-kira lima juta lagi pemilik kenderaan golongan pendapatan sederhana M40 sebagai penerima manfaat subsidi petrol bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum ini hanya individu berpendapatan rendah B40 disenaraikan sebagai penerima di mana jumlahnya mencecah 3 juta penerima.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi Belanjawan2020 semalam telah membuka peluang kepada keseluruhan 8 juta pemilik kenderaan dari golongan B40 dan M40 dengan nilai keseluruhan subsidi sebanyak RM2.2 bilion.

"Perkara itu baharu diumumkan Menteri Kewangan semalam, sudah tentu KPDNHEP akan duduk dengan MOF untuk memperincikannya, B40 kita sudah ada data sebab mereka menerima BSH (Bantuan Sara Hidup).

"M40 kita belum lagi melihat pangkalan data itu jadi kita akan memperincikan mekanismenya berapa bilangan mereka dan kita akan tahu," katanya ketika merasmikan Sumbangan Amal Deepavali di Tesco Kulim hari ini.

Saifuddin berkata, setakat ini, KPDNHEP sedang melengkapkan data penerima B40 yang mempunyai kenderaan selain akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mendapatkan data terperinci.

Antara kelayakan yang diperincikan bagi penerima subsidi petrol bersasar termasuklah mempunyai kenderaan yang berdaftar atas nama sendiri, enjin berkapasiti 1600cc dan ke bawah atau kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin lebih tinggi mestilah berusia lebih 10 tahun, motosikal berkapasiti enjin 150cc dan ke bawah dan motosikal berkuasa tinggi dengan syarat umur melebihi tujuh tahun.

Semalam, menerusi Belanjawan2020, Guan Eng mengumumkan subsidi petrol bersasar akan dilancarkan bermula Januari 2020 bakal memanfaatkan lapan juta penerima dengan jumlah RM2.2 bilion, di mana sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal bagi menunaikan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Saifuddin menyampaikan Sumbangan Amal Deepavali Tesco kepada 150 penerima berupa barangan keperluan harian bernilai RM100 setiap seorang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus