Belanjawan 2020: PH khianati masyarakat India

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengkhianati masyarakat India apabila mengurangkan peruntukan untuk kaum itu dalam Belanjawan 2020.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, masyarakat India seolah-olah dianaktirikan meskipun 75 peratus pengundi India menyokong PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, Belanjawan 2020 menyediakan tiga peruntukan utama kepada masyarakat itu termasuk RM20 Juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) untuk membangunkan usahawan India.

“Jumlah ini amat rendah berbanding Belanjawan 2017 ketika kerajaan BN (Barisan Nasional) yang menyalurkan sebanyak RM200 juta iaitu RM50 juta melalui Tekun Nasional dan RM150 juta lagi untuk AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia).

“Pada Belanjawan 2018, BN menaikkan memperuntukkan kepada RM250 Juta bagi tujuan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sivarraajh berkata, Belanjawan 2020 turut peruntuk RM50 juta melalui Kementerian Pendidikan Malaysia bagi (KPM) bagi tujuan pengurusan dan pembangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Menurutnya, jumlah itu juga rendah berbanding Belanjawan 2017 dengan peruntukan hampir RM 84.52 juta untuk tujuan sama selain tambahan RM10 juta bagi pembinaan 50 kelas prasekolah di SJKT.

“Satu lagi peruntukan dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM100 Juta untuk pembangunan sosio ekonomi melalui MITRA (Malaysian Indian Transformation Agency).

Artikel Berkaitan:

“Jumlah ini sama seperti Belanjawan 2019 dan merupakan hasil usaha BN melalui SEDIC (Socioeconomic Development of Indian Community Unit) sejak 2015 yang memperuntukkan RM100 juta setahun bagi tempoh lima tahun.

“Walhal menteri bertanggungjawab hal ehwal masyarakat India, Senator Waythamoorthy Ponnusamy pernah menyatakan kerajaan PH akan mewujudkan peruntukan khas bernilai RM4 bilion bagi tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin India PH sering melaungkan kerajaan BN mengkhianati masyarakat India namun hari ini terbukti PH sebenarnya yang berbuat demikian.