Belanjawan 2020 beri keutamaan kepada Sabah dan Sarawak: Guan Eng

Guan Eng (tengah) bergambar bersama pengamal media selepas sesi sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Wakil rakyat Sabah dan Sarawak diminta lebih bertimbang rasa dan mensyukuri nikmat peruntukan pembangunan tertinggi diterima dua negeri itu menerusi Belanjawan 2020, semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan pembangunan disalurkan kepada kedua-dua negeri itu adalah tertinggi diterima antara negeri-negeri di seluruh negara dengan penambahan nilai peruntukan geran khas sebanyak 100 peratus.

Mengakui sukar memuaskan hati wakil rakyat Sabah dan Sarawak, menurutnya, pembentangan Belanjawan 2020 ternyata memberi keutamaan kepada pembangunan di dua negeri itu.

"(Negeri) Sabah dan Sarawak selalu cakap tidak puas hati tetapi kerajaan sudah menambah peruntukan pembangunan di bawah geran khas 100 peratus berbanding peruntukan terdahulu.

"Di sebalik keutamaan diberikan kepada mereka, kerajaan Pusat susah hendak puaskan hati mereka, sedangkan kedua-dua negeri terima peruntukan pembangunan paling banyak," katanya pada sidang media di bilik media Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang Ahli Parlimen Sarawak menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji kepada Sarawak selain menyifatkan Belanjawan 2020 hanya tertumpu kawasan Semenanjung Malaysia.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Belanjawan 2020 juga sebenarnya sangat memberikan keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dengan bukti kedua-dua negeri menerima peruntukan pembangunan terbesar.

Menurutnya, wakil rakyat kedua-dua negeri itu juga perlu sedar peruntukan dana sebegitu tidak pernah diterima mereka sewaktu zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Kalau mereka (Sabah dan Sarawak) tidak puas hati, kerajaan negeri lain pun lagi tidak puas hati kerana mereka terima peruntukan lebih sedikit.

"Kerajaan Pusat harap mereka lebih bertimbang rasa dan syukuri peruntukan besar diberikan kepada dua negeri itu," katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan Sabah dan Sarawak hanya menerima 17.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan bernilai RM56 bilion dikemukakan dalam Belanjawan 2020.

Menurutnya, Sabah hanya menerima RM5.2 bilion, manakala Sarawak menerima RM4.4 bilion daripada Belanjawan 2020.