Buang rokok dalam laut elak dicekup

Norzaid (dua dari kanan) menunjukkan rokok putih pelbagai jenama yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali.
Norzaid (dua dari kanan) menunjukkan rokok putih pelbagai jenama yang berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali.
A
A
A

PASIR PUTEH - Penyeludup sanggup membuang 660,000 batang rokok seludup pelbagai jenama ke dalam laut yang dianggarkan bernilai RM394,800 sebaik sahaja kegiatan haram mereka itu dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali awal pagi semalam.

Kegiatan menyeludup masuk rokok putih dari Thailand ke negara ini menggunakan jalan laut berjaya dikesan PPM Wilayah Tiga Tok Bali ketika melakukan rondaan di perairan Melawi, Bachok pada jam 4 pagi.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, ketika rondaan dilakukan, pihaknya terserempak dengan sebuah bot berkuasa tinggi yang dikemudi dalam keadaan mencurigakan.

"Sejurus menyedari anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali, bot tersebut telah memecut laju sehingga memasuki kawasan perairan Laut Benting Lintang di Besut Terengganu," katanya ketika sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Tok Bali di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, suspek kemudian didapati berpatah balik dan menuju ke pesisir Pantai Semerak, namun mereka sekali lagi tidak bernasib baik apabila terserempak semula dengan anggota PPM Wilayah Tiga Marin Tok Bali.

"Ketika itulah suspek bertindak membuang objek ke dalam laut dan kemudian melarikan diri," katanya.

Norzaid berkata, hasil pemeriksaan dilakukan membawa kepada penemuan rokok yang cuba diseludup masuk ke negara ini secara tidak sah.

Katanya, rokok-rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand untuk dipasarkan secara gelap berikutan mendapat permintaan tinggi di sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PPM Wilayah Tiga Tok Bali tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan laluan laut dengan bot berkuasa tinggi selepas menyedari kawalan ketat di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.