Suri rumah rugi RM18,550 diperdaya kenalan FB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Akibat terlalu mempercayai kenalan di Facebook, seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian RM18,550 selepas diperdaya kenalannya itu yang sebenarnya scammer.

Wanita berusia 52 tahun dari Temerloh itu pada awalnya meminjamkan akaun bank miliknya kepada kenalan lelaki bernama Adil kononnya dari United Kingdom yang dikenali sejak Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang merancang untuk ke Malaysia meminta bantuan menggunakan akaun bank wanita itu untuk memasukkan wang berjumlah AS$250,000 (RM1.04 juta) bagi kegunaannya semasa berada di negara ini.

Menurutnya, suspek memberi alasan terpaksa berbuat demikian kerana dia tidak mempunyai akaun bank di negara ini.

"Mungkin terlalu percayakan kenalannya itu kerana mereka sering berhubung melalui WhatsApp sebelum ini, mangsa bersetuju membantu lelaki itu termasuk bersedia mendahului wangnya sebagai deposit urusan kemasukan wang AS$250,000 tersebut.

"Mangsa membuat 30 transaksi pembayaran melalui perbankan internet bermula 24 Disember tahun lalu dan bayaran terakhir pada 7 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan RM18,550 ke tiga akaun bank atas nama individu berbeza," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa terus dihubungi dan diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya untuk proses mendapatkan nombor kod kebenaran transaksi (TAC).

"Mangsa mula curiga dengan urusan tersebut dan syak telah ditipu lalu membuat laporan polis semalam.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan dibuat mangsa itu, kita membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya juga sedang mengesan empat individu wanita yang juga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.