Fokus layak ke Sukan Olimpik 2020

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama skuad hoki negara ketika berangkat tiba ke Majlis Santapan Hi-Tea Negara di Istana Negara semalam. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama skuad hoki negara ketika berangkat tiba ke Majlis Santapan Hi-Tea Negara di Istana Negara semalam. - Foto Bernama
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu skuad hoki kebangsaan tidak memikirkan kegagalan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016, sebaliknya lebih fokus beraksi pada edisi 2020 di Tokyo.

Al-Sultan Abdullah bertitah skuad bimbingan Roelant Oltmans itu perlu memenangi dua aksi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 berdepan Great Britain di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London pada 2 dan 3 November depan.

Seri Paduka bertitah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Malaysian Tigers layak beraksi pada temasya sukan terbesar itu dan baginda mendoakan agar kemenangan berpihak kepada skuad negara, sekali gus layak bersaing di pentas Olimpik Tokyo 2020.

“Saya harap semua pemain akan terus berusaha. Pastikan semua cukup cergas... makan cukup. Insya-ALLAH, bila terbang (berlepas ke London) nanti, kamu semua bermain untuk negara, bermain untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak lupa untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Santapan Hi-Tea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pasukan Hoki Negara di Istana Negara semalam.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Al-Sultan Abdullah yang pernah menjadi Presiden KHM dari 2008 hingga 2015, juga merancang menjemput atlet kebangsaan yang lain bagi menghadiri program seumpama itu dalam tempoh baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Artikel Berkaitan: