Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.2 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor perkhidmatan diunjurkan berkembang 6.1 peratus pada 2019 dan meningkat 6.2 peratus pada 2020.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pertumbuhan sektor itu pada 2019 yang menyumbang hampir 58 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; kewangan dan insurans; maklumat dan komunikasi; serta makanan, minuman dan penginapan.

“Sektor ini diunjur meningkat 6.2 peratus pada 2020 dengan kebanyakan subsektor berkembang pada momentum yang sama manakala perkhidmatan berkaitan perdagangan dan pembuatan meningkat secara marginal.

"Subsektor perdagangan borong dan runcit akan terus menjadi pemacu utama sektor perkhidmatan, di mana ia dijangka berkembang 6.8 peratus pada 2019, berikutan pengembangan segmen runcit dan 7.0 peratus pada 2020, disokong oleh aktiviti berkaitan pelancongan serta pertumbuhan pantas e-dagang menggunakan Platform Perdagangan Dunia Elektronik.

"Subsektor kewangan dan insurans dijangka meningkat 4.8 peratus pada 2019 berikutan pertumbuhan lebih tinggi dalam Perkhidmatan Perantaraan Kewangan yang Diukur Secara Tidak Langsung dan pendapatan berasaskan fi dengan kadar faedah yang rendah," katanya.

Menurut laporan itu, pada 2020, subsektor ini dijangka berkembang 5.1 peratus disokong oleh segmen kewangan berikutan peningkatan pinjaman bank dan pendapatan fi yang lebih tinggi selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi.

Katanya, penubuhan bank maya pertama pada suku ketiga 2020 bertujuan memodenkan industri perbankan Malaysia serta penerbitan garis panduan lesen perbankan maya juga dijangka terus meningkatkan pertumbuhan subsektor ini.

"Subsektor maklumat dan komunikasi diunjur berkembang 6.7 peratus pada 2019 disumbangkan oleh perkhidmatan telekomunikasi dan komputer, sementara pengenalan rangkaian selular generasi kelima (5G) dijangka memacu pertumbuhan subsektor kepada 6.9 peratus pada 2020.

Artikel Berkaitan:

"Subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan diunjur meningkat 7.6 peratus pada 2019 didorong oleh permintaan untuk perkhidmatan profesional, terutamanya guaman, perakaunan dan kejuruteraan dengan penerusan projek Transit Aliran Massa Laluan 2 dan Transit Aliran Ringan Laluan 3.

"Pada 2020, subsektor ini dijangka meningkat 7.8 peratus disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan berkaitan pembinaan dengan penerusan projek mega seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia.

"Selain itu, penambahbaikan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik pada September 2019 bagi membantu pembeli rumah kali pertama dijangka turut menyokong pertumbuhan subsektor ini," kata laporan itu.

Katanya, subsektor pengangkutan dan penyimpanan dianggar meningkat 6.5 peratus pada tahun 2019 dan 6.4 peratus pada tahun 2020, dipacu oleh segmen pengangkutan darat serta pertumbuhan perkhidmatan lapangan terbang pelabuhan selaras dengan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.

Menurut laporan itu, subsektor makanan dan minuman dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.2 peratus pada 2019 disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelancong dan 8.9 peratus pada 2020 berikutan peningkatan jumlah ketibaan dan hasil terimaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, yang menyasarkan sebanyak 30 juta pelancong dan RM100 bilion hasil terimaan.

"Faktor lain yang dijangkakan menyokong subsektor ini termasuk peluasan pelaksanaan Visa Semasa Ketibaan daripada tujuh kepada 13 pintu masuk di seluruh negara bagi pelancong China dan India, serta penganjuran mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik mulai Disember 2019 hingga November 2020," kata laporan itu. - Bernama