X

Kindly register in order to view this article
!

Peningkatan peruntukan satu suntikan kepada sektor pertanian

Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan peningkatan peruntukan sebanyak 10.9 peratus iaitu RM4.9 bilion berbanding tahun lalu sebagai suntikan kepada usaha meningkatkan bidang pertanian di negara ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, peningkatan peruntukan itu juga membuktikan sektor agromakanan negara mendapat perhatian kerajaan dan akan terus dibangunkan dengan mampan untuk memastikan bekalan makanan selamat serta mencukupi.

Menurutnya, ia selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam usaha kementerian membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

“Ia juga berfungsi sebagai pemangkin kepada Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

“Antara tumpuan yang diambil untuk sektor pertanian bagi 2020 termasuklah pemberian elaun dan skim bagi para petani dan nelayan yang masih diteruskan serta langkah pemodenan bagi meningkatkan produktiviti.

“Antara penumpuan bagi sektor pertanian ialah RM855 juta untuk sektor padi di mana ia merupakan peningkatan daripada RM796 juta yang diperuntukkan pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP)

“Subsidi padi bukit atau huma juga akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini.

Katanya, bagi membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta untuk menyediakan pinjaman pada kadar faedah empat peratus

Mengulas lanjut katanya, sebanyak RM152 juta diperuntukkan kepada nelayan melibatkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan.

Menurutnya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta peruntukan sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

“Ini merupakan kekayaan baharu yang boleh meningkatkan hasil petani,” katanya.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM43 juta diagihkan untuk Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

“Tidak ketinggalan RM30 juta juga untuk penghasilan beras padi pulut di Langkawi,” katanya.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, pihaknya akan menggunakan peruntukan daripada Belanjawan 2020 dengan cermat dan yakin mampu mengagihkannya secara adil serta saksama kepada pihak terlibat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus