RM10 juta kepada MED bagi khidmat nasihat, kesedaran industri halal

Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai AS$3 trilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan menaikkan siling bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran daripada RM200,000 kepada RM300,000 bagi setiap syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Geran Pembangunan Pasaran merupakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia.

“Pada masa sama, siling bagi penyertaan PKS dalam setiap pameran perdagangan juga akan ditingkatkan daripada RM15,000 kepada RM25,000.

“Kerajaan juga akan memperuntukkan RM50 juta untuk menggalakkan PKS menyertai lebih banyak aktiviti promosi,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan akan memperuntukkan tambahan RM50 juta kepada My Co-Investment Fund (MyCIF) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memanfaatkan platform inovasi kewangan digital bagi membantu membiayai PKS yang sukar mendapat akses pembiayaan.

“Kerajaan akan menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu seperti platform Pendanaan Awam Ekuiti (ECF) dan Rakan-ke-Rakan (P2P).

“Secara kolektif, lebih daripada RM430 juta dijana sehingga Jun 2019 yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 PKS,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: