Belanjawan 2020: Penambahan 100 kakitangan SPRM tahun depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun hadapan bagi meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan Unit Integriti di semua kementerian dan agensi dengan memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan Ujian Penilaian Risiko di semua kementerian, jabatan dan agensi.

Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan melalui penggubalan undang-undang dan penubuhan institusi seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bagi meningkatkan keyakinan orang awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ombudsman Malaysia pula bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam, bertujuan meningkatkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini

Guan Eng berkata, bagi menangani isu kematian dan penganiayaan tahanan lokap, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) diperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi penambahbaikan prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

"Sejak pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada 29 Jan lepas, sebanyak 115 inisiatif telah diperkenalkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15 peratus telah berjaya dilaksanakan, manakala 78 peratus dalam pelaksanaan. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pengisytiharan harta oleh menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyifatkan penambahan 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2020 adalah satu manifestasi jelas daripada kerajaan dalam komitmen memerangi rasuah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ​​​peruntukan RM10 juta bagi ujian penilaian risiko terhadap semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan memperkasakan lagi fokus kepada bahagian pencegahan SPRM.

"SPRM menghargai tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah di negara ini," katanya ketika dihubungi. - Bernama