Honda panggil balik 23,476 unit terjejas beg udara

USAHA penggantian adalah percuma yang mana semua ditanggung oleh Honda.
A
A

HONDA Malaysia mengumumkan panggilan semula bagi sejumlah 23,476 unit kenderaan keluarannya yang dipanggil sebelum ini untuk penggantian inflator beg udara Takata bahagian hadapan iaitu pemandu dan penumpang.

Dalam satu kenyataan, Honda berkata, pemilik terbabit akan menerima surat makluman daripada pihaknya dan butiran panggilan semula dan stok yang ada.

Antara model yang terbabit ialah Civic (model tahun 2006-2007 dan 2009-2011), CR-V (2007-2008 dan 2010-2011), Stream (2010 dan 2012), Insight (2011-2012), City (2009-2013) serta Jazz (2012-2013) untuk bahagian pemandu.

Penggantian bahagian penumpang hadapan pula membabitkan Accord (model tahun 2003, 2005-2006, 2008-2009 dan 2011-2012), Stream (2003-2005), CR-V (2002-2009), Jazz (2003-2007 dan 2009-2012), City (2003-2009) serta Civic (2003-2011).

Menurut Honda lagi, kos bagi menukar pengepam beg udara Takata itu adalah percuma dan ditanggung oleh syarikat berkenaan.

“Kami sekali lagi memohon maaf di atas kesukaran yang dihadapi pelanggan. Kami percaya usaha penggantian ini amat wajar sebagai langkah awal.

“Oleh itu, kami menggesa pelanggan terbabit untuk tampil bagi membolehkan inflator beg udara Takata itu digantikan dengan seberapa segera.

“Honda Malaysia juga merayu pelanggan Honda lain yang terbabit tetapi belum membuat penggantian beg udara Takata segera tampil. Ini kerana ia boleh menyebabkan tekanan dalaman yang melampau apabila diaktifkan dan menyebabkan kecederaan atau maut,” kata syarikat itu lagi.