Sektor pembuatan dijangka berkembang 4.1 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor pembuatan dijangka berkembang 4.1 peratus pada 2020 dipacu oleh peningkatan kukuh dalam industri berorientasikan eksport serta pertumbuhan mampan dalam industri berorientasikan domestik.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 dikeluarkan Kementerian Kewangan, sektor tersebut bagaimanapun akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dan isu.

Menurutnya, perkara itu termasuk cabaran deindustrialiasi pramatang, penggunaan teknologi dan pembangunan bahan tempatan yang rendah serta defisit kemahiran.

Justeru, laporan itu berkata, antara langkah yang boleh dilaksana termasuk penyusunan semula insentif di bawah satu pusat sehenti, merekayasa latihan dan kemahiran, meneroka bidang tumpuan baharu dan membangunkan hab sektor pembuatan bersepadu.

"Inisiatif ini akan membolehkan pertumbuhan sektor pembuatan kekal kukuh pada masa hadapan terutamanya penumpuan dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data raya (BDA) dan objek rangkaian internet (IoT)," katanya.

Laporan itu turut menyebut pertumbuhan sektor pembuatan meningkat 4.2 peratus pada separuh pertama 2019 terutamanya disokong oleh industri berorientasikan domestik.

Sementara itu katanya, industri berorientasikan eksport berkembang dengan kadar lebih perlahan disebabkan oleh perkembangan sederhana dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) seiring dengan permintaan global lebih rendah bagi produk elektronik.

Menurutnya, subsektor E&E yang merupakan 40.8 peratus daripada industri berorientasikan eksport dijangka menyederhana sebanyak 3.6 peratus pada tahun ini disebabkan oleh kemerosotan dalam kitaran semikonduktor dan ketegangan perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat dengan China.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun ini, sektor pembuatan dijangka berkembang 4.0 peratus dengan indeks pengeluaran pembuatan meningkat 4.1 peratus sementara jualan mencatat 6.1 peratus bagi tempoh tempoh Januari hingga Julai," katanya. - Bernama