Kerajaan komited kurangkan hutang

belanjawan 2020
belanjawan 2020
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk mengurangkan hutang dan pendedahan liabiliti serta terus melaporkan kedudukan pendedahan komprehensif untuk meningkatkan pemantauan dan ketelusan.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 dikeluarkan Kementerian Kewangan, pada akhir Jun 2019, jumlah hutang dan pendedahan liabiliti dianggarkan sebanyak RM1.17 trilion atau 77.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan peningkatan hutang kerajaan Persekutuan dan komitmen jaminan.

“Selain hutang kerajaan Persekutuan, pendedahan obligasi kerajaan yang lain merangkumi komitmen jaminan, hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta liabiliti lain termasuk anggaran komitmen tunai projek kerjasama awam swasta (PPP) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” katanya.

Bagi jaminan kerajaan, jaminan pinjaman terkumpul berjumlah RM273.8 bilion atau 18 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2019, berbanding RM266.5 bilion atau 18.4 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2018.

Laporan itu berkata, pengeluaran jaminan kerajaan baharu bertujuan terutama untuk membiayai projek infrastruktur awam seperti Transit Aliran Massa, Lebuhraya Pan Borneo serta pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam dan pinjaman pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, disebabkan oleh salah urus dan tadbir urus yang lemah, kerajaan perlu mengambil alih obligasi keseluruhan 1MDB termasuk prinsipal hutang sebanyak RM32.2 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan menyalurkan pendahuluan sebanyak RM8.9 bilion kepada 1MDB untuk pembayaran balik hutang dan faedah pada akhir Jun 2019.

Kata laporan tersebut, kerajaan juga sedang berusaha untuk memperoleh semula sebahagian daripada aset yang berkaitan dengan jejak kewangan 1MDB dan sehingga akhir Jun 2019, kerajaan menerima hampir RM920 juta daripada aset yang diperoleh dan dana ini diguna untuk memenuhi obligasi hutang 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Mengenai liabiliti lain, ia berkata, komitmen tunai terkumpul PPP pada akhir Jun 2019 dianggarkan sebanyak RM130.6 bilion berdasarkan 100 projek sedia ada berbanding RM135.1 bilion pada akhir 2018.

Bagi menampung bayaran komitmen ini, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang terdiri daripada caj ketersediaan, penyelenggaraan dan penggantian aset serta bayaran kontrak perkhidmatan berdasarkan volum sehingga 2047.

Menurut laporan itu, liabiliti berkaitan projek PFI, sebaliknya dianggarkan berjumlah RM45.9 bilion pada akhir Jun 2019 dan meliputi pembinaan, naik taraf dan penyenggaraan sekolah, kemudahan awam dan perumahan kos rendah serta program keusahawanan dan peningkatan kemahiran. - Bernama