Belanjawan 2020: Pelaksanaan semula projek mega pacu sektor pembinaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor pembinaan dijangka terus berkembang pada 3.7 peratus dipacu oleh langkah mempercepat dan melaksanakan semula projek mega serta pembinaan rumah mampu milik.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 dikeluarkan Kementerian Kewangan, pelaburan dalam kerja infrastruktur juga dijangka meningkatkan segmen kejuruteraan awam.

“Projek infrastruktur ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT2), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2), Projek Central Spine Road, Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pesisir Pantai di Sarawak,” demikian menurut laporan itu.

Bagi tahun ini, sektor pembinaan dijangka meningkat 1.7 peratus disokong segmen kejuruteraan awam khususnya projek berkaitan infrastruktur.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, prestasi sektor ini dijangka terjejas berikutan pertumbuhan perlahan harta tanah kediaman dan komersial.

Dalam pada itu, subsektor kediaman dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan terutamanya berikutan peningkatan harta tanah tidak terjual disebabkan ketakpadanan antara penawaran dan permintaan.

Namun begitu, pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan termasuk pembinaan 60,000 unit rumah mampu milik setiap tahun dalam tempoh 10 tahun serta pemantapan semula Dasar Perumahan Negara dijangka dapat menyokong pertumbuhan subsektor ini pada tahun depan.

“Di samping itu, penambahbaikan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia membolehkan pembeli rumah kali pertama menikmati bayaran bulan lebih rendah sehingga 20 peratus yang turut menyumbang kepada pertumbuhan subsektor ini."

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, bagi subsektor bukan kediaman, ia akan kekal perlahan pada 2020 berikutan kekurangan inisiatif projek komersial mega baharu.

Bagaimanapun, projek komersial yang sedang dijalankan seperti Pusat Bandar Bukit Bintang, Pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Aeropolis, pembangunan Kwasa Damansara, pembangunan Lembah Wawasan Malaysia dan Menara Merdeka 118 dijangka menyokong subsektor berkenaan. - Bernama