PDRM beri amaran kepada individu sokong pengganas

Ayob Khan
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, berhubung tangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pihaknya mempunyai tempoh 28 hari untuk melengkapkan siasatan.

"Kita menjalankan siasatan berhubung kumpulan LTTE sejak November tahun lalu. Kita akan ambil tindakan jika ada bukti," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Pengurusan, di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa LTTE bukan kumpulan pengganas, Ayob Khan berkata, perkara itu tidak boleh dibandingkan dengan negara lain.

"Kita ada undang-undang kita sendiri. LTTE telah disenarai sebagai kumpulan pengganas sejak tahun 2014 bukan sahaja di Malaysia tetapi di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka.

"Siasatan telah dijalankan dan kita ada asas kukuh. Saya tidak nampak apa tujuan kumpulan atau individu tertentu untuk aktifkannya semula. Berdasarkan gambar yang dipamerkan itu melibatkan LTTE, bukan isu perjuang hak kaum Tamil di Sri Lanka dan sebagainya, tapi ia perjuangkan dan promosikan kumpulan pengganas," katanya.

Semalam, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.

Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

ARTIKEL BERKAITAN ADUN DAP ditahan bawah SOSMA