Belanjawan 2020 perlu selesaikan masalah rakyat

A
A

TENTUNYA ramai yang tertunggu-tunggu apakah ada ‘gula-gula’ yang akan dinikmati oleh rakyat jelata dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada hari ini.

Setiap kali sebelum membentangkan belanjawan, pemimpin-pemimpin kerajaan biasanya berjanji memastikan belanjawan tidak akan mengabaikan kepentingan rakyat.

Namun, setelah dibentangkan, ‘gula-gula’ yang ditaburkan tidaklah semanis yang disangkakan. Malahan, yang didengari adalah pelbagai sindiran dan cemuhan daripada rakyat.

Belanjawan hari ini adalah belanjawan kali kedua disediakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah menerajui tampuk pemerintahaan pada 9 Mei 2018.

Setelah membentuk kerajaan baharu, rupa-rupanya ia tidaklah mendatangkan kegembiraaan. Harga barang tetap mahal. Sehingga ramai tertanya, apa bezanya kerajaan lama dengan kerajaan baharu?

Malahan ada yang sudah menyatakan rasa kesal memilih PH kerana mereka merasakan pendapatan hidup mereka tidak berubah pun jika berbanding zaman Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah mengakui manifesto pilihanraya dulu kini telah memakan diri mereka sendiri. Pendek kata, kerajaan kini sukar mengotakan janji-janji seperti apa yang termaktub dalam manifesto mereka.

Oleh itu, kita harapkan Belanjawan 2020 ini benar-benar menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Kerajaan mestilah sedar bahawa ramai telah hilang kerja dan masih mengganggur sehingga berbulan lamanya.

Begitu juga dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi; gaji yang diterima tidak dapat menampung perbelanjaan seisi keluarga dan bermacam-macam bayaran yang perlu dibelanjakan setiap bulan.

Sesebuah kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mengambil berat keperitan rakyat. Bagi kerajaan PH, inilah masa dan peluang kepada mereka membela nasib rakyat, lebih-lebih lagi golongan yang memerlukan.

Nescaya, kalau Belanjawan 2020 ini masih gagal menawan hati rakyat, nasib PH makin gelap dan ramalan menjadi ‘kerajaan sepenggal’ bakal menjadi kenyataan.