Kelantan masih belum dapat royalti minyak

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Kelantan masih belum mendapat royalti minyak seperti dijanjikan.

Justeru, beliau berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji tersebut pada Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok.

“Kerajaan negeri sudah menunaikan hampir semua permintaan Kerajaan Pusat dan saya fikir tiada sebab mereka tidak tunaikan janji.

"Kita harap dapat ditunaikan pada Bajet ini. Harapan kita besar Bajet kali ini berjaya mengemukakan hala tuju yang lebih jelas terhadap masa depan ekonomi kita terutama bagaimana untuk meningkatkan hasil,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan belanjawan tahun lepas, kerajaan dilihat gagal membuat jangkaan pada harga minyak dunia.

“Kalau bajet yang lalu, kerajaan gagal membuat jangkaan pada harga minyak. Apabila kerajaan letak pada paras AS70 (RM293.51) setong tapi realitinya adalah AS50 (RM209.65) setong.

“Akibatnya kerajaan hilang fokus dan terpaksa 'cover' dengan kos lain. Kita harap kali ini kerajaan lebih berhati-hati dan menumpukan kepada sumber yang lebih stabil,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan Terengganu berharap kerajaan Pusat terus membayar wang royalti minyak atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada negeri itu sebagaimana dalam peraturan perjanjian.

Artikel Berkaitan:

Harapan itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terhadap Belanjawan 2020.

Beliau juga berharap Kerajaan Pusat dapat menyalurkan peruntukan sewajarnya kepada kerajaan negeri mengikut perlembagaan dan peraturan kewangan sedia ada.