Warga asing gelabah miliki MyKad palsu

Antara warga asing yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Perak.
A
A

IPOH - Sikap tidak keruan seorang warga asing membongkar pemilikan kad pengenalan palsu dalam satu operasi bersepadu Jabatan Imigresen Perak di beberapa lokasi sekitar Ipoh semalam.

Dalam serbuan berakhir jam 2 pagi itu, seorang lelaki warga Indonesia dilihat berada dalam ketakutan dan cuba membuktikan dirinya warga tempatan.

Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, lelaki itu telah menunjukkan kad pengenalan versi lama, bagaimanapun pegawai operasi yang meragui ketulenan kad berkenaan telah menahan individu terbabit untuk siasatan lanjut.

"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak dirujuk dan didapati kad pengenalan tersebut adalah palsu.

"Individu tersebut kemudiannya telah diserahkan kepada JPN untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Operasi disertai 14 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak itu telah menahan 30 warga asing termasuk lapan wanita atas pelbagai kesalahan.

Kamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 21 merupakan warga Indonesia, Bangladesh (3), Sri Lanka (3), India (2) dan Pakistan (1) berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Katanya, mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan di Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

"Sebanyak tujuh lokasi telah diserbu iaitu di beberapa premis kediaman dan tapak pembinaan yang mana lokasi-lokasi ini disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.