JKNP laksana penguatkuasaan berkaitan rokok

DR SHAARI
DR SHAARI
A
A
A
KUANTAN - Bermula Januari tahun ini sehingga 2020, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan melaksanakan ‘penguatkuasaan pendidikan’ dan ‘penguatkuasaan penuh’ berkaitan merokok.

Pengarahnya, Dr Shaari Ngadiman berkata, ‘penguatkuasaan pendidikan’ bermaksud pihak JKNP akan menjalankan rondaan di seluruh premis kedai makan dan restoran di negeri ini secara berperingkat untuk memberikan teguran dan nasihat sekiranya berlaku pelanggaran perintah larangan merokok.

Menurutnya, ia akan dijalankan mengikut beberapa peringkat, di mana pada 1 hingga 14 Januari ini, ‘penguatkuasaan pendidikan’ dijalankan setiap hari, manakala pada 15 hingga 31 Januari akan dilakukan dua kali seminggu.

“Seterusnya pada 1 Februari hingga 31 Mac 2019 ‘penguatkuasaan pendidikan’ itu akan dilakukan sekali seminggu sebelum diadakan dua kali sebulan iaitu bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019.

“Pada Julai hingga 31 Ogos pula akan dilaksanakan ‘penguatkuasaan penuh’ dua kali sebulan dan tempoh 1 September hingga 31 Disember akan dilakukan sekali sebulan.

"Pada peringkat ini, sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta penguatkuasaan seperti notis kompaun dikenakan selepas tempoh ‘penguatkuasaan pendidikan’,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Pada 1 Januari 2019 bermulanya larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan, seiring dengan sasaran negara ini bagi mencapai negara bebas rokok menjelang 2045.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dipetik sebagai berkata, pada 2005, Malaysia menandatangani perjanjian dengan World Health Organization Framework Convention On Tobacco Control.

Antara kawasan larangan merokok adalah rumah kedai dengan jarak tiga meter, tempat makanan terbuka, trak makanan, restoran di atas tanah lot, kedai makan dalam sungai, restoran atas awan dan mana-mana bilik atau dalam kawasan di dalam sesuatu kapal atau kereta api di mana makanan disediakan, dihidangkan atau dijual.
Artikel Berkaitan:


Sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut, individu boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu bagi pemilik premis makanan pula boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok; dan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan gagal memastikan orang awam tidak merokok.