Dana terikat heret pihak industri penyebab bencana: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (dua, kanan) menyumbang ke Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) selepas melancarkan tabung itu pada majlis Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 yang bertemakan 'Kesiapsiagaan Bencana, Tanggungjawab Bersama' di ibu pejabat Nadma hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah (dua, kanan) menyumbang ke Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) selepas melancarkan tabung itu pada majlis Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 yang bertemakan 'Kesiapsiagaan Bencana, Tanggungjawab Bersama' di ibu pejabat Nadma hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - Kerajaan akan meneliti perlaksanaan 'sinking fund' (dana terikat) bagi membolehkan pihak industri yang menyebabkan bencana disebabkan perbuatan manusia bertanggungjawab.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak industri terbabit akan bertanggungjawab membiayai kos operasi, menguruskan dan memulihkan bencana.

Menurutnya, perlaksanaan dana terikat ini akan mempertingkatkan kebertanggungjawaban pihak industri bagi mengelakkan berlakunya bencana seperti kebakaran, jerebu dan pencemaran kimia.

"Kita sedang meneliti segala aspek termasuk perundangan sebelum melaksanakannya.

"Penelitian dibuat kerajaan bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapan perasmian berkata, Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) dilancarkan bagi menyelaraskan sumbangan dana daripada orang ramai bagi tujuan pengurusan bencana negara.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah meluluskan dan mengadakan kempen TBBN untuk menggalakkan sumbangan pihak swasta, badan sukarela serta orang perseorangan," katanya.

Menurutnya, TBBN dikendalikan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini sumbangan bantuan bencana dikendalikan oleh pelbagai pihak dan tidak selaras serta tiada pengawasan. Terdapat tabung- tabung bencana dibuka tanpa pengawasan sehingga terdedah kepada unsur penipuan," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kewujudan TBBN dapat membantu kerajaan menyelaras bantuan yang disumbangkan oleh rakyat serta mengurangkan unsur-unsur penipuan.

"Derma boleh dibuat melalui akaun Bank Muamalat 1601-0001138-71-4 atas nama TTBN," katanya.